Sunday, 31 January 2021

Reset Malaysia : Taati Allah , Taati Rasul Dan Taati Ulil Amri .

 *Reset Malaysia : Taati Allah, Taati Rasul Dan Taati Ulil Amri.*


Dalam *Agenda Reset Malaysia* prinsip-prinsip yang terkandung dalam *Rukun Negara* bukan sahaja wajib di tegakkan malah ia harus di perkasakan. 


Kita bukan sahaja wajib berpegang kepada *Kepercayaan kepada Tuhan iaitu Allah* bahkan kita juga wajib mentaati segala perintah-perintah-Nya.


Ini kerana kewajipan mentaati Allah SWT itu adalah kewajipan yang mutlak tanpa mengira kedudukan. Baik Raja, PM, Menteri, Wakil Rakyat, Pegawai Kerajaan mahu pun rakyat jelata. Semuanya wajib mentaati Allah SWT secara mutlak dan menyeluruh.


Tidak harus ada persoalan dan tidak di benarkan berbeza pendapat dalam perkara ini.


Ini kerana perintah dari Allah SWT itu sudah cukup jelas untuk di pertikaikan lagi.


*Wahai orang-orang yang beriman ! Taatilah Allah, taatilah Rasul ( Muhammad ), dan Ulil Amri ( pemegang kekuasaan ) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikan kepada Allah ( Al Quran ) dan Rasul ( Sunnah ), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik ( bagi mu ) dan lebih baik kesudahannya.*


  - Surah An Nisa, Ayat 59.


*Tidak ada ketaatan yang mutlak selain dari Allah.*


Mentaati *Ulil Amri @ pihak yang berkuasa* itu kondisional sifatnya bukan mutlak. Taati mereka dalam perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.


Dalam perkara- perkara maksiat dan kemungkaran, mereka 

wajib di tegur dan di nasihati.


Maka adalah wajar dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia apabila ada pihak yang mengkritik, menegur dan menasihati pihak yang berkuasa.


Kritikan, teguran dan nasihat kepada pihak yang berkuasa wajar di raikan. Bukan di anggap sebagai satu bentuk pemberontakan atau penderhakaan.


Jika terdapat perselisihan atau perbezaan pendapat maka wajib bagi semua pihak untuk kembali kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.


Inilah proses kita untuk bernegara secara cerdas dalam perjuangan untuk menegakkan prinsip *amar maarf nahi mungkar* yang menjadi kewajipan mutlak dalam beragama.


*Bernegara secara cerdas dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia, rakyat bukan sahaja wajib mentaati Ulil Amri bahkan yang lebih utama adalah mentaati Allah dan RasulNya.*


*Agenda Reset Malaysia* mengajak kita untuk kembali mentauhidkan Allah SWT dalam kehidupan bernegara. Dan kembali kepada sumber kebenaran iaitu *Al Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak para ulamak.*


Kepada Raja-Raja Melayu dan pihak yang berkuasa dalam pentadbiran dan pengurusan negara ini, dengan segala rendah diri saya merayu dan menyeru agar sentiasa muafakat dengan para ulamak.


Para ulamak wajib menjadi sebahagian dari proses untuk membuat keputusan. Bukan sekadar menjadi  instrumen untuk membenarkan setiap keputusan.


*Setiap keputusan dari pihak yang berkuasa bukan sahaja harus kelihatan adil atau harus di anggap adil bahkan keadilannya harus dapat di rasainya oleh rakyat jelata.*


Mana mungkin kita berlaku adil tanpa kita meletakkan sesuatu perkara itu pada tempatnya.


Mana mungkin kita berada di jalan yang benar tanpa berpandukan kepada pertunjuk-pertunjuk dari Al-Quran dan Sunnah dan tanpa bimbingan dari para ulamak yang menjadi pewaris Nabi.


*Ada perbezaan yang besar antara kebenaran dan pembenaran.*


Sebagai sebuah negara bangsa kita sudah tersesat terlalu jauh dari kebenaran. Sudah sampai masanya untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kembali kepada kebenaran.


*Tegakkan kebenaran bukan pembenaran.*


Angan-angan saya, saya ingin melihat pada persidangan Majlis Raja-Raja Melayu akan datang para ulamak turut di perkenan untuk sama-sama bersidang dan sama-sama membuat keputusan bagi negara ini.


Teruskan mengikuti nota-nota pendek saya. *Anda akan di rayu, di pujuk, di goda untuk mereset diri anda sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.*


Dari sahabatmu yang sedang berusaha untuk merenung nasib bangsa dan negaranya.


- Ramalan Yunus @ Demi Melayu.

1 Februari 2021.


No comments: