Thursday, 18 March 2021

Agenda Reset Malaysia : Pemangkin Kegemilangan Malaysia

 *Agenda Reset Malaysia: Pemangkin Kegemilangan Malaysia.*


Saya berteori dan bermimpi-mimpi  untuk sebuah idealismse Islam bagi negara Malaysia  bermula  sejak awal 1990-an sehinggalah 2000-an.


 Kemuncak impian ini ialah  menjuarai Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2012 dengan novel berjudul  Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur.


Dan kemudiannya  diikuti pula oleh buku Revolusi Senyap,  sebuah buku yang menterjemahkan  teori   kepada proses realiti supaya Sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini ditamatkan dan digantikan pula dengan negara Malaysia yang ditadbir di bawah   Pemerintahan   RRM. 


Kedua dua buah buku itu telah dihadiahkan kepada banyak pihak termasuklah RRM sendiri.


Saya percaya kedua-dua buah karya itu dan karya-karya saya  yang lain,   baik karya kreatif khasnya cerpen  dan buku-buku  semi ilmiah,   ada peranannya masing-masing dalam mood dakwah amar makruf nahi mungkar  yang saya namakan  *Revolusi Senyap*.


Mood Revolusi Senyap memang berjalan secara senyap-senyap, sendirian, tanpa teman, tanpa  sebarang sokongan dan  bantuan atau publisiti. Cuma program HIKMAH anjuran Tuan Merah Silu sahaja saya berkesempatan sebanyak tiga kali dijemput sebagai penceramah di Pagoh, Chenor dan Janda Baik.Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Radhi Shafie  yang sudi menjemput saya. 


Allah Taala tiba-tiba takdirkan berlaku pertemuan saya dengan Dato Dr. Ramalan. Saya dimasukkan senyap-senyap ke dalam grup Demi Melayu oleh Tun Suzana pada tahun 2019 apabila   Tun Suzana mengenali saya melalui program HIKMAH di Pagoh. Saya dah lupa tahun bila.


Dari grup DMlah segalanya bermula apabila *mimpi-mimpi saya  dan angan-angan Dato Dr. Ramalan*  bertaup melalui nota-nota yang kami siarkan,  sehingga membawa kepada  perjuangan bertemakan  *Agenda Reset Malaysia yang dipopularkan oleh Dato Dr. Ramalan.*  Kronologinya adalah seperti berikut: 


1. Ogos 2019 saya dimasukkan  ke dalam *grup DM*  dan kemudiannya dijemput menghadiri mesyuarat   di KL. Di sana saya telah  *memberikan cadangan*  supaya dibentuk perwakilan  mempersembahkan model Pemerintahan RRM  kepada YDPA. Oleh kerana grup ini berminat dengan agenda mereka, maka kertas kerja saya  tidak dibentangkan.


Oleh kerana saya  tidak menyertai mesyuarat yang berikutnya, lantas saya dikeluarkan oleh admin.


Namun Dato Dr. Ramalan *menghubungi saya* meminta saya e-melkan kertas kerja itu. Dia berkenan untuk menelitinya. 


2. Setelah setahun berlalu,  pada pertengahan tahun  2020 saya tiba-tiba   *ditarik semula* ke dalam grup DM. Saya diminta turut sama memeriahkan  grup DM ini.


3.  Terbukti melalui nota-nota saya dan nota Dato Dr. Ramalan yang  kami  siarkan  di dalam grup DM,  Dato Dr. Ramalan rupa-rupanya  *berkongsi idea dan agenda  yang sama* dengan saya iaitu kami menulis  demi  Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia. 


Saya dengan *model  Sistem Pemerintahan RRM* yang akan  menghidupkan kembali nostalgia   istilah -istilah klasik pembesar-pembesar Melayu dalam pentadbiran. Model pemerintahan itu mencadangkan *Malaysia  melaksanakan sistem pemerintahan Islam sepenuhnya*  dengan kembali semula ke pangkal jalan setelah   tersasar terlalu jauh daripada jalan kehidupan yang dibentangkan oleh Rasulullah SAW. 


Bangsa Melayu  mesti *pulangkan kembali negara ini kepada pemilik asalnya*  iaitu  RRM  untuk  melaksanakan pemerintahan Islam berasaskan format yang saya sediakan demi  menamatkan perbalahan dan perpecahan oleh sistem demokrasi berparlimen.


Format pemerintahan oleh RRM yang diperkenalkan akan *menamatkan era yang serba buruk*  kerana akan melonjakkan orang-orang yang berkeperibadian mulia memegang tampuk kepimpinan di segenap  bidang kepimpinan.


 Menakala Dato Dr. Ramalan pula  dengan  *plan strategik yang hebat-hebat  bagi  membangun dan mengangkat martabat bangsa dan negara* bukan sahaja ke seluruh Alam Melayu tetapi kepada persada dunia antarabangsa.


Visi dan misi yang *tersangat hebat dan cemerlang*  ini tidak akan sekali-kali dapat be direalisasikan selagi negara ini ditadbir oleh kerajaan demokrasi seperti sekarang.


Maka bertauplah dua gagasan idea yang cukup hebat untuk Islam dan bangsa Melayu!


 Aduhai...Allah *mempertemukan kami*   dan rupa-rupanya kami berkongsi persefahaman dan mendukung agenda yang  hampir- hampir sama dalam semua perkara.


*MasyaAllah. Tabarokallah. Lailahaillah.*


4. Bulan  Ogos/September 2020  saya *menyusun strategi*  bersama Dato Dr. Ramalan  bagaimana nak membawa model pemerintahan RRM saya itu mengadap YDPA.


5. DS Mufti Pahang bersetuju untuk berbincang dengan Dato Dr. Ramalan di Kuantan  mengenai *angan-angan dan mimpi* kami itu tapi terhalang oleh PKP.


6. Dato Dr. Ramalan lalu  mencadangkan supaya saya *berbincang dengan Tengku Amir, Yang diPertua MUIP* sebagai laluan untuk mengadap YDPA. Maka dicubalah  melalui beberapa individu. Antaranya teman baik Tengku Amir,  Pegawai Khasnya dan DS Mufti serta Timbalannya.  Tapi semuanya gagal. Pertemuan tidak dapat berlaku.


4.  Tanpa diduga tiba-tiba pada bulan Januari 2021 terbuka ruang untuk  Dato Dr. Ramalan    *menghantar nota angan-angannya*  yang dijamin sampai kepada YDPA, MRRM dan VVIP.


Selepas nota tersebut  sampai kepada sasarannya, melalui tiupan angin yang bertiup lembut,  baharulah nampak kepada saya  *bakal  berbunganya  sebuah impian dan harapan* untuk mudah-mudahan bakal bermulanya sebuah era baru  yang Dato Dr. Ramalan popularkan dengan istilah  *Agenda Reset Malaysia*.


MRRM dijangka bersidang pada awal Februari 2021  untuk mengumumkan keputusan  pendirian MRRM atas cadangan nota Dato Dr. Ramalan itu.


Tiba-tiba persidangan ditangguh pula kepada 24 Februari. Kemudian sehari dua menjelang tarikh itu, persidangan ditangguh pula kepada 30 Jun 2021.


Ada perkara- perkara *kerahsiaan*  pada peringkat MRRM sehingga agenda yang  dinamakan Agenda Reset Malaysia itu ditangguh.


Oleh kerana Agenda Reset Malaysia adalah agenda bangsa Melayu  yang begitu besar yang akan *merombak seluruh sistem yang sedia ada yang  akan diserasikan sepenuhnya  dengan Sunnah Allah dan Sunnah Rasul-Nya* maka MRRM  tertekan untuk tidak menerimanya.


MRRM sebenarnya *tidak ada pilihan untuk tidak  menerimanya*  kerana sebagai penaung agama, bangsa  dan negara,  Agenda Reset Malaysia sesungguhnya  adalah agenda agung akhir zaman bagi bangsa Melayu yang akan menjadi formula perpaduan Melayu, perpaduan Islam dan perpaduan Malaysia. 


Agenda Reset Malaysia  amat diyakini, insyaAllah  akan *menyelesaikan semua kemelut dan permasalahan* di negara ini kerana slogan agung *Islam adalah penyelesai segala masalah*


Semoga dalam tempoh terdekat, insyaAllah  kita akan mendapat solusinya. 


Senario  politik semasa akan  menentukan apakah akan berlaku pergolakan politik yang menyulitkan sehingga Proklamasi Darurat Covid-19 ini mungkin boleh bertukar menjadi darurat politik sehingga YDPA perlu mengistiharkan pemerintahan MAGERAN.


*Hanya MAGERAN* saja yang  boleh memungkinkan Agenda Reset Malaysia ini menjadi kenyataan.


Kami  menyerahkan kepada bangsa Melayu   sama ada untuk membiarkan Malaysia kekal seperti sekarang ini atau *beranjak melonjak ke hadapan* menyesuaikan dengan dunia era baru menjelang fasa terakhir akhir zaman,  sepertimana yang  dijanjikan bahawa Islam akan bangkit dari Timur dan bangsa Melayulah yang akan mengibarkan panji-panjinya.


Marilah kita sama-sama  doakanlah apa-apa yang terbaik buat bangsa Melayu, umat Nabi  Muhammad SAW dan negara Malaysia tercinta kita ini.


Semoga Allah memudahkan seluruh urusan. Aaminn!


Kamaludin Endol @ Demi Melayu

19  Mac 2021.


www.worldislamicnation.com

No comments: